BEIJING – Seorang wanita di wilayah Yunnan, China terkejut apabila berdepan perubahan mendadak pada wajah dan badannya semasa hamil, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Perkara itu dikongsikan oleh wanita bernama Li Wei di platform media sosial China, Weibo.
Li Wei pada awalnya sangat gembira selepas diberitahu doktor bahawa dia sedang hamil. Kulit wajahnya juga kelihatan lebih cantik dan berseri akibat paras estrogen dan progesteron yang tinggi.
Wei bagaimanapun terkejut apabila mukanya berubah dengan ketara termasuk bentuk hidung mengembang dan kedutan halus yang semakin mendalam semasa usia kandungannya mencecah lima bulan.
Selain memiliki tompok hitam pada pipi, kedua-dua lengan dan kaki Wei juga mula bengkak.
Situasi bertambah buruk apabila rambut Wei menjadi semakin nipis, manakala kulit wajahnya lebih kering selepas bersalin.
Doktor memberitahu Wei bahawa perubahan mendadak itu adalah normal dan semula jadi.
“Pengalaman kehamilan saya sangat sukar, namun selepas melihat kehidupan baru (bayinya) membuatkan saya berasa perjalanan itu berbaloi,” kata Wei. – AGENSI