PETALING JAYA – Tindakan segelintir ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain kemudahan permainan di Catopia Taman Kucing, Shah Alam mengundang kemarahan orang ramai memandangkan tempat berkenaan dikhususkan untuk haiwan tersebut.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna Instagram Ahmad Riyal memperlihatkan, beberapa kanak-kanak bermain di tempat tersebut yang disifatkan berbahaya memandangkan rekaan taman permainan itu adalah untuk kucing.
“Wahai ibu bapa, hentikan tindakan anak anda yang bermain dalam Catopia. Ini taman permaian untuk kucing dan sudah tentu ibu bapa sepatutnya elakkan anak mereka bermain di situ.
“Rekaan permainan semuanya untuk kucing (misalnya) tangga tiada pemegang selain bahagian platform tiada penghadang. Kalau terjatuh, bahagian bawah itu tidak empuk. Ia untuk kucing serta berbahaya untuk kanak-kanak. Kucing pun tak suka kanak-kanak bermain di situ,” kata lelaki tersebut.
Dia memaklumkan, terdapat kemudahan taman permainan di sebelah Catopia yang dikhaskan untuk kanak-kanak dan ibu bapa boleh membawa anak mereka bermain di situ.
Perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas dan mereka juga kesal dengan sikap segelintir ibu bapa tersebut membiarkan anak mereka bermain di Catopia.
“Ini kalau terjatuh salahkan kerajaan lah. Padahal benda sah-sah bukan untuk manusia,” komen seorang pengguna Instagram amir_nawawi.
“Nama pun Catopia, kenapa biarkan anda anda berlari di jambatan? Kasihan anak kucing,” komen bitsandpiscesthings.
“Sangat tak berpendidikan ibu bapa tersebut. Memalukan,” kata lindatsg. – KOSMO! ONLINE