KUALA LUMPUR – Tambahan sebanyak RM50 juta diperuntukkan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi Program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (P.E.N.N) menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu mencecah RM100 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tambahan dana ini dibuat berikutan kejayaan P.E.N.N (Fasa 1) yang telah dilancarkan pada 14 April tahun lalu.
Sejak pelaksanaannya, AIM telah memberi manfaat kepada 6,247 wanita India dengan dana sebanyak RM42.7 juta.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada wanita India untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan, malah terbukti meningkatkan taraf hidup mereka. Majoriti peserta mencatat peningkatan pendapatan antara 20 hingga 30 peratus,” katanya.
Tambahnya, AIM juga menyasarkan peluasan manfaat program kepada lebih 10,000 usahawan wanita India di seluruh negara.
Program ini akan terus menyokong perkembangan perniagaan kecil-kecilan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, jahitan, kecantikan dan perkhidmatan komuniti.
Dalam pada itu, permohonan bagi menyertai P.E.N.N 2.0 kini dibuka di semua 124 Pejabat Cawangan AIM di seluruh negara.
Mengulas lanjut, skim ini juga menawarkan pembiayaan mikro secara mudah tanpa memerlukan penyata kewangan, penjamin mahupun cagaran. Peserta turut akan menerima bimbingan dan pemantauan berterusan daripada pihak AIM. -KOSMO! ONLINE