PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi keadaan yang mengganggu di Catopia, Shah Alam apabila taman kucing itu didakwa sering dijadikan lokasi permainan kanak-kanak, meskipun kawasan itu direka khas untuk haiwan peliharaan.
Menerusi satu perkongsian di TikTok milik @Keepitriyal, lelaki berkenaan meluahkan rasa kecewa apabila melihat beberapa kanak-kanak memanjat dan berlari-lari di sekitar struktur taman tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.
“Catopia bukan taman permainan kanak-kanak. Tak ada pagar keselamatan, platform tinggi, permukaan keras. Kalau jatuh, boleh cedera teruk,” katanya.
Dalam video tersebut turut memaparkan struktur binaan tersebut tidak dilengkapi jaring keselamatan dan permukaan tanahnya juga bukan jenis empuk atau mempunyai lapisan padding keselamatan.
Menurutnya, terdapat dua taman permainan kanak-kanak tersedia bersebelahan kawasan taman kucing namun, ibu bapa masih membiarkan anak-anak memanjat dan berlari di ruang yang diperuntukkan untuk haiwan.
“Kucing dekat sini pun rasa terancam bila budak-budak semua panjat dan lari dekat tempat diorang,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap sesetengah ibu bapa yang sambil lewa dalam hal keselamatan serta ketenteraman haiwan.
“Kucing saya kena kacau dekat sini dengan kanak-kanak. Bawa kucing saya sebab nak bagi main dan santai, tetapi bertambah tertekan,” komen @Poomcpooson.
“Akhirnya ada yang cakap pasal ni…Dah lama tak datang sini sebab ibu bapa suka biarkan anak,” kata @Rafi_anuwar.
“Terang-terang situ taman kucing. Taman kanak-kanak dekat setiap taman ada. Kucing punya jugak la yang nak,” komen @Tv_07. – KOSMO! ONLINE