fbpx

Remaja cedera dihempap pokok ru ketika ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memotong pokok ru yang tumbang menghempap beberapa kenderaan di sebuah pusat peranginan di Kemasin, Bachok hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

BACHOK – Seorang remaja lelaki cedera ringan selain beberapa kenderaan mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok ru dalam kejadian ribut semasa hujan lebat di sebuah pusat peranginan di Kemasin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa yang berusia 15 tahun yang dihempap dahan pokok ru dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ibrahim Mohd. Rohni berkata, remaja terbabit dipercayai berada di kawasan berkenaan sebelum dihempap pokok tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.39 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebatang pokok ru tumbang menghempap beberapa kenderaan milik pengunjung yang berada di kawasan berkenaan.

“Remaja yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Ibrahim memberitahu, pihaknya kemudian melakukan kerja memotong pokok yang tumbang dengan menggunakan dua unit gergaji rantai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI