fbpx

Ramayan mahu ‘beli jiwa’ peminat wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Ramayan dianggotai (dari kiri) Syafie, Omar, Que dan Izzat.

HAMPIR dua tahun mencanai ilham, kumpulan indie Ramayan akhirnya kembali bersama sebuah karya baharu, sekali gus menjadi studio penuh diberikan judul Ini Adalah Ujian Transmisi.

Album yang memuatkan 11 buah lagu penuh rasa dan warna tersebut menandakan detik peralihan penting buat tiga anggotanya Syafie M. Nasir selaku vokalis, Omar Saifuddin (bass), Que Azeem (dram) dan Izzat (gitar).

Kali ini, pendengar turut dibawa ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman sonik yang berbeza dengan penghasilan karya terdahulu.

Album berkenaan merupakan kolaborasi antara Luncai Emas dan Song Music Malaysia yang membuka satu dimensi baharu dalam perjalanan seni Ramayan.

11 lagu, satu jiwa

Setiap lagu menampilkan pendekatan sonik yang berbeza, di antaranya kolaborasi menarik melalui penyertaan penyanyi wanita berbakat iaitu Lunadira menerusi lagu Jangan Biar.

Menurut Syafie, lagu yang dihasilkan dalam tempoh dua tahun tersebut tercetus tanpa paksaan, sebaliknya muncul daripada ilham yang jujur dan rasa tulen.

“Kami tidak pernah benar-benar merancang. Kadangkala lagu hadir dalam bentuk kasar. Kami simpan, kami tangguh dan apabila masa tiba, kami berikannya nyawa baharu.

“Kami mahu mencetuskan gelombang dalam muzik Malaysia di mana tiada lagi pemisahan antara indie dan ‘mainstream’.

“Kami mahu muzik mengajak orang meraikan hidup seadanya, tanpa perlu menjadi orang lain,” ujarnya.

BERSANDARKAN Luncai Emas dan Sony sebagai label syarikat, Ramayan kini hadir dengan warna muzik sedikit berbeza, mahu lebih dekat dengan khalayak, terutama golongan wanita.

Antara lagu yang terkandung termasuklah Ujian Transmisi I: Persona Rupawan, Gadis Berbaju Merah, Disko Kelana, Panggilan Hangat, Cita-cita Asmara, DENDANG!, Jangan Biar, Samudera, Sinfonietta 396, Tayangan Perdana dan Ujian Transmisi II: Rewang.

Zon selesa

Jika sebelum ini lagu dihasilkan dikatakan terlalu ‘niche’ atau hanya disukai kelompok tertentu, kini Ramayan tampil dengan pendekatan berbeza demi menarik lebih ramai pendengar, khususnya golongan wanita.

“Sebelum ini, banyak orang kata susah nak hadam lagu kami. Tidak semua orang boleh dengar. Sekarang ini, kita mahu cari peminat baharu yang belum pernah dengar muzik kami.

“Secara spesifiknya, kita memang mahu tarik pendengar perempuan,” dedah Syafii.

Tidak dinafikan adalah kebanyakan kumpulan muzik yang mempunyai populariti tinggi lazimnya disokong peminat wanita yang ramai.

“Kita tengok realiti. Kebanyakan kumpulan yang popular, ramai peminat daripada golongan perempuan.

“Jadi kita cuba buka sikit ruang itu dengan pendekatan yang lebih luas dari segi muzik dan penonton,” katanya.

Sementara itu, Omar pula menyifatkan perubahan hala tuju Ramayan kali ini bukan semata-mata mahukan populariti tetapi juga untuk menonjolkan kepelbagaian sisi muzik mereka.

“Kami tidak sekadar pengikut aliran, kami juga dengar pelbagai jenis muzik lain. Ada sisi pop dan elemen komersial lain yang kami cuba masukkan dalam karya.

“Ini bukan bermakna kami buang identiti lama, tetapi kami percaya muzik perlu berkembang. Mahu semua orang tahu muzik kami bukan satu dimensi sahaja,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI