KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok bagi keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada saman.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan daripada pihak-pihak pada prosiding secara dalam kamar hari ini.
Pada masa sama Hakim Roz Mawar juga akan memutuskan sama ada perbicaraan saman sivil itu digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan memutuskan lapan persoalan undang-undang tersebut.
Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan berhubung saman sivil yang difailkan Muhammad Yusoff Rawther.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara itu memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau kekebalan bersyarat berhubung saman berkenaan.
Sementara itu, memetik laporan sebuah portal pada 28 Mei lalu, peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie yang mewakili Anwar berkata, dalam afidavit sokongan, permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan mengikut lunas Perlembagaan.
Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam permohonan sama, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.
Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.
Permohonan itu juga mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri ketika ini berhak menurut Perkara 5(1) untuk perlindungan daripada litigasi bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.
Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut di sini pada Oktober 2018.
Menerusi saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Plaintif mendakwa, pemimpin politik itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun dia menolak perbuatan defendan selain memintanya berhenti melakukan perbuatan tersebut.
Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selaku plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE