PETALING JAYA – Penganjur program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh sayap pemuda sebuah parti politik di daerah ini akan dirakam keterangan dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu susulan sebanyak 188 laporan polis diterima berhubung dakwaan penganjuran program itu.
Jelasnya, laporan terbabit dibuat daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu itu tular minggu lalu.
“Setakat ini, polis sudah menerima 188 laporan berkaitan isu berkenaan. Kita akan panggil penganjur untuk temuduga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.
Program itu disifatkan sebagai mencetus sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ, Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE