PETALING JAYA – Pelakon dan pempengaruh Saidah Kamarudin enggan memanjangkan isu mengenai tindakan bekas tunangnya yang didakwa telah menggodam akaun TikTok miliknya.
Saidah atau nama lengkap Nur Saidah Syahirah Kamarudin, 28, memilih untuk berdiam daripada bercerita demi menjaga nama baik bekas tunangnya itu.
“Laporan polis sudah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya pada pihak yang terlibat.
“Saya tidak mahu lagi beri dia perhatian sebab dia memang suka ‘fame’ yang sementara ini.
“Banyak sahaja saya boleh buktikan bahawa bekas tunang yang menggodam akaun TikTok milik saya, tapi saya pilih untuk tidak berbuat sedemikian,” katanya.
Tambah Saidah, dia mula mengetahui akaun TikTok miliknya digodam selepas mendapati peranti model 14 Pro Max dikesan dalam akaunnya.
“Dari segi penulisan menerusi komen, saya sudah dapat kenali siapa gerangannya yang menulis selepas mengetahui akaun milik saya digodam,” katanya.
Namun, pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 3 itu memilih untuk tidak menceritakan secara terperinci di media sosial dan menyerahkan perkara ini pada pihak polis.
Kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada Mei tahun lalu, namun cinta mereka terkandas di tengah jalan pada Mac lalu. – KOSMO! ONLINE