JAKARTA – Seorang warga emas cedera selepas tersepit di ruang sempit yang memisahkan dua kediaman di Gresik, wilayah Jawa Timur, lapor portal berita Okezone.
Kejadian berlaku di Desa Klotok dalam daerah Balongpanggang semalam.
Rakaman kejadian dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kompascom menunjukkan wanita dikenali sebagai Rami, 74, itu tersepit pada ruang 25 sentimeter di antara tembok dua rumah.
Jeritannya yang kuat menyebabkan warga setempat segera menghubungi Perkhidmatan Pengurusan Bomba dan Bencana Gresik.
“Anggota bomba terpaksa merobohkan sebahagian dinding dengan berhati-hati agar tidak mencederakan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan selepas 30 minit,” kata Ketua Balai Bomba Gresik dikenali sebagai Suyono.
Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut dan kini sedang menerima rawatan lanjut. – AGENSI