PETALING JAYA – Seorang wanita berbangsa India memohon bantuan pengguna media sosial untuk menyunting gambar ibunya memakai tudung.
Menurut perkongsian Thilaga Vathy menerusi hantaran di kumpulan Facebook, Edit Apa Hari Ini, ibunya sempat melafazkan dua kalimah syahadah sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Walaupun hanya seketika memeluk agama Islam, permintaan wanita ini jelas mencerminkan rasa cinta dan hormat mendalam terhadap penghijrahan terakhir ibunya.
“Salam gambar ini arwah mak saya yang meninggal sehari lepas mengucap syahadah. Pagi subuh arwah dah kembali kepada Allah.
“Diminta boleh edit (sunting) gambar berpakaian cara Islam dan bertudung,” katanya.
Hantaran itu segera menarik perhatian ribuan pengguna media sosial yang tersentuh dengan kisah tersebut dan ramai tampil membantu menyunting gambar arwah ibunya agar kelihatan bertudung serta menutup aurat.
“Allahuakhbar. Suci bersih bagaikan bayi baru lahir sempat ucap syahadah sebelum tutup mata. Cantik perjalanan dia,” kata Nor Fauzana.
“Cantik arwah mak awak bertudung. Moga berada di taman syurga,” komen Hairi.
“Alhamdulillah, moga arwah mak diberi tempat yang baik di sisi Allah. Indahnya pengakhiran begini,” tulis Syakirah. – KOSMO! ONLINE