PARIS – Legenda Liverpool, Steven Gerrard percaya Paris Saint-Germain (PSG) yang bergelar juara Eropah musim ini akan berdepan masalah besar pada sesi perpindahan pemain bulan ini.
Gerrard berpendapat gergasi Perancis itu perlu mencari titik kelemahan pasukan dan ia perlu segera dibaiki untuk menjadikan pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tersebut lebih baik pada masa akan datang.
Elemen itu dianggap penting buat pengendali PSG, Luis Enrique bagi membina skuad yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran selepas ini kerana pencabar-pencabar lain pastinya akan memberi lebih perhatian kepada The Parisians.
“Jika mereka ada masalah terbesar, ia pastinya lebih menjurus kepada bagaimana mahu melakukan peningkatan. Adakah mereka akan berikan cuti kepada pasukan pemantau mereka?
“Mereka ada segala-galanya, jadi kena lihat siapa yang ada dalam pasukan, pemain mana boleh dibawa masuk untuk menjadikan pasukan ini lebih baik,” kata Gerrard.
Di peringkat kalah mati UCL, PSG berjaya menewaskan tiga kelab Inggeris, bermula dengan kemenangan ke atas Liverpool di pusingan 16 terbaik diikuti Aston Villa (suku akhir) dan Arsenal pada saingan separuh akhir.
Dalam masa sama, Gerrard menghamburkan pujian kepada pemain tengah PSG, Vitinha yang dilabel sebagai jelmaan legenda Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez.
“Vitinha sememangnya layak digelar Xavi baharu. Persembahannya cukup menarik dan PSG sangat beruntung mempunyai pemain sepertinya,” tambah Gerrard. – AGENSI