SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pelupusan besar-besaran pelbagai barang kes jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melibatkan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM1.44 juta bagi tempoh 2004 hingga 2024.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, pelupusan itu dilaksanakan mengikut kaedah dan peraturan di bawah Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) serta peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, barangan dilupuskan merangkumi kes perjudian, pusat hiburan, kegiatan melombong mata wang kripto secara haram, barang kontraban dan jenayah komersial.
Katanya, antara yang dimusnahkan ialah 548 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit digunakan untuk perjudian dalam talian dengan bernilai RM582,400
“Selain itu, 635 mesin bitcoin hasil Op Elektrik bernilai RM286,200.00, 29,307 keping VCD/DVD cetak rompak, lima telefon bimbit dan empat komputer riba melibatkan kes jenayah komersial (RM214,149.00).
“Pelupusan turut membabitkan sebanyak 650 tin dan 502 botol minuman keras serta 293 karton rokok yang dirampas dalam operasi kontraban dan Op Pusat Hiburan berjumlah RM362,911.00,” katanya pada majlis tersebut selepas dirasmikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd. Zaini Abu Hassan.
Mohd. Fairus berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 525 kertas siasatan daripada Bahagian Siasatan Jenayah serta 110 kertas siasatan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah berjaya diselesaikan.
“Kesemua pesalah telah dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah. Arahan pelupusan telah diperoleh daripada pihak Pendakwa Raya dan diluluskan oleh mahkamah,” jelasnya.
Tambahnya, masyarakat diigatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan haram seperti kontraban, perjudian dan perlombongan bitcoin haram yang menggunakan bekalan elektrik curi yangmerupakan kesalahan serius di sisi undang-undang negara. – KOSMO! ONLINE