KOTA BHARU – Dianggarkan sebanyak lebih dua juta kenderaan akan masuk ke Kelantan menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, beliau menjangkakan jumlah tersebut akan melebihi bilangan kenderaan yang masuk ke negeri ini pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Sebanyak lebih dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha kerana perayaan tersebut juga jatuh pada musim cuti persekolahan.
“Orang Kelantan kebiasaannya akan pulang dan melaksanakan ibadah korban di sini. Keadaan itu pasti menyebabkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan kawasan di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, lokasi titik panas kawasan kemalangan pada Hari Raya Aidiladha kali ini juga sama seperti yang dikenal pasti semasa Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu. – KOSMO! ONLINE