SHAH ALAM- Laporan siasatan teknikal berkaitan insiden Putra Heights dijangka siap selewat-lewatnya pada 26 Jun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan siasatan itu mengambil sedikit masa untuk disiapkan kerana perlu meneliti beberapa aspek yang mengakibatkan insiden terbabit berlaku.
“Masih ada ruang yang perlu dikenal pasti dalam siasatan seperti keutuhan paip, pergerakan tanah dan lain-lain lagi.
“Siasatan teknikal dibuat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan (perlu) disiapkan 26 Jun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan E-Bike oleh Menteri Besar Selangor kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, laporan siasatan teknikal dan siasatan jenayah akan diumumkan sebaik sahaja siasatan teknikal siap.
Amirudin berkata, isu bantuan bayaran sewa rumah bagi penempatan sementara mangsa Putra Heights kini hampir selesai.
Menurutnya, isu tersebut sebelum ini tidak dapat diselesaikan disebabkan ada mangsa yang tidak memberikan dokumen yang secukupnya dan tidak memberikan nombor akaun mereka. -KOSMO! ONLINE.