PEMAIN baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Antonio Glauder enggan sekadar ‘bercuti’ di Malaysia dan pasang impian untuk menghadirkan impak besar buat pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) musim depan.
Walaupun data dikongsikan Transfermarkt menunjukkan Glauder hadir sebagai ejen bebas selepas dilepaskan oleh Cadiz CF, pertahanan itu mengakui tidak sabar untuk memulakan diari baharu bersama Harimau Selatan.
“Tidak sabar memulakan cabaran baharu!,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Pada pengumuman kelmarin, Glauder yang muncul sebagai rekrut pertama Harimau Selatan akan memakai jersi nombor lima, sebelum ini milik pertahanan Indonesia, Jordi Amat yang dilaporkan mungkin akan kembali bermain di Eropah.
“Dari Sepanyol ke Malaysia. Antonio Glauder kini Southern Tiger,” umum JDT menerusi laman media social rasmi.
Untuk rekod, Glauder pernah menyarung beberapa pasukan ternama di Sepanyol seperti Villarreal, Alaves, Eibar dan kelab terakhirnya adalah Cadiz CF.
Sebelum ini, seorang lagi pemain kelahiran Sepanyol, Fabio Gonzalez turut diwar-warkan akan menyertai JDT terutamanya selepas wujud dakwaan wartawan Sepanyol yang menyebut bintang tengah CD Tenerife akan melebarkan kariernya di Malaysia.
Malah, pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel juga sering menjadi buah mulut akan menyertai JDT malah pemain itu secara terbuka pernah menyatakan penyebab utama kepada keputusannya sertai pasukan kebangsaan Malaysia adalah disebabkan Harimau Selatan.