KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei membuka kempen Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025 dengan baik apabila bangkit menewaskan gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dalam aksi pusingan pertama sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, beregu profesional negara itu dipaksa bermandi peluh sebelum bangkit mencatat kemenangan 17-21, 21-17, 21-14 dalam masa 58 minit.
Walaupun dikejutkan dengan kekalahan di set pertama, pasangan No. 1 negara itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengatasi lawan, seterusnya melangkah ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
Cabaran menanti buat Nur Izzuddin-Sze Fei apabila mereka dijadualkan menentang rakan senegara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong untuk memburu tempat ke suku akhir.
Terdahulu, Azriyn-Wee Kiong tidak berdepan masalah menyingkirkan gandingan muda dari China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-12 dalam masa hanya 32 minit. -KOSMO! ONLINE