fbpx

‘Istimewa Bilal dan Abah jalani penggambaran di Mekah, Madinah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Bilal dan Abah akan disiarkan bermula 8 Jun ini di TV Al Hijrah.

PETALING JAYA – Hasrat berdakwah melalui karya seni tercapai apabila pengarah, Pali Yahya menghasilkan telefilem khas Aidiladha TV Al Hijrah berjudul Bilal dan Abah.

Pali memaklumkan drama tersebut sangat bermakna kerana menjalani penggambaran di Tanah Suci selain dapat menunjukkan surau yang sudah lebih 100 tahun usianya.

Walaupun sudah banyak mengarah, naskhah ini sangat istimewa kerana menjalani penggambaran di Mekah dan Madinah.

“Naskhah in juga sangat sesuai dengan siarannya pada waktu Aidiladha dalam suasana umat Islam mengerjakan haji.

“Drama ini turut menonjolkan surau berusia lebih 100 tahun di Slim River, Perak sebagai lokasi penggambaran dan sangat menarik,” katanya.

Pada masa sama, Pali memberikan kepercayaan kepada Azhan Rani selaku utama di samping pelakon lain seperti Ummi Nazeera dan Harun Hasim.

“Saya dah banyak kali bekerjasama dengan Ummi dan Azhan. Lakonan Azhan sebagai pemuda autisme yang keanak-anakan sangat mencabar tetapi dibawa dengan baik.

“Harun Hashim pula sudah agak uzur, namun masih mampu memberi lakonan yang mantap dan menyentuh perasaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penerbitnya Datin Norley Aimi Nadiah Shaari berterima kasih kepada panel TV Al Hijrah yang memilih naskhah ini selepas pertama kali bekerjasama.

“Ini adalah kali ketiga kami mengadakan penggambaran di Mekah dan Madinah selepas drama Surat Dari Tuhan (TV3) dan Satu Hari Nanti (Iqiyi).

“Kami mempunyai perniagaan di Mekah termasuk rumah di sana sekali gus menjadikan urusan penginapan dan logistik berjalan dengan sempurna.

“Kami berpuas hati dengan hasil dan komitmen semua kru termasuk Pali Yahya dan barisan pelakon. Semoga kami diberi peluang lagi menerbitkan drama yang berunsur islamik,” jelasnya.

Drama ini mengisahkan Bilal lakonan Azhan, seorang pemuda autisme yang sangat mengagumi sahabat Nabi Muhammad, Bilal bin Rabah.

Lelaki terbabit bercita-cita menjejakkan kaki ke Mekah untuk melaungkan azan. Bilal mencari tin dan besi buruk bagi mengumpul wang ke sana.

Hadir seorang insan bernama Fatihah yang bekerja di syarikat umrah ke kampungnya sekali gus perkenalan Fatihah dengan Bilal dan abahnya membuka peluang kepadanya ke Mekah dengan percuma.

Selain Azhan, drama ini turut menampilkan Harun Hashim (Abah), Ummi Nazeera (Fatihah), Luqman Hafidz (Jalal) dan Hafiy Al Tamis.

Telefilem hasil karya skrip Azal Ezreen ini akan disiarkan pada Ahad, 8 Jun, jam 9 malam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI