IPOH – Cubaan seorang lelaki menyeludup lembu menggunakan lori ‘bonded’ yang telah diubah suai gagal apabila helah itu berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak melalui Op Mega Korban di Gerik hari ini.
Pengarahnya, Dr. Saifullizam Abd. Kadir berkata, taktik lelaki berusia lingkungan 50-an itu untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak kesampaian apabila kenderaan dipandunya dikesan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10 pagi.
Katanya, anggota penguatkuasa mengekori kenderaan berkenaan dari Hentian Titiwangsa sejauh 40 kilometer (KM) sebelum menahannya dekat Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik.
“Pemeriksaan di dalam lori tersebut menjumpai 12 ekor lembu di mana kebanyakannya adalah lembu jantan yang dipercayai bagi tujuan ibadah korban.
“Semasa pemeriksaan, pemandu tersebut juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen sah untuk pemindahan ternakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Saifullizam, lori ‘bonded’ yang biasanya digunakan bagi membawa barangan sejuk beku itu didapati telah diubah suai apabila tiada sistem kawalan suhu dan terdapat lubang udara pada kenderaan.
“Kemungkinan besar lembu ini dibawa secara haram dari Kelantan untuk dibawa masuk ke negeri ini. Nilai rampasan 12 ekor lembu dan lori tersebut dianggarkan berjumlah RM120,000.
“Pemandu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1)Akta Binatang 1953,” katanya. – KOSMO! ONLINE