KEMAMAN – Gara-gara menampar pelajar yang makan roti keping tanpa kebenaran pada akhir bulan lalu, seorang warden sebuah pusat tahfiz didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Norzaizhul Zainudin, 41, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menampar bahagian kiri dan kanan mangsa berusia 16 tahun sehingga cedera.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Mohd. Norzaizhul di asrama pusat tahfiz berkenaan di sini pada pukul 3.45 petang, 26 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingfa setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pemdakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh pula diwakili peguam, Masliela Ismail.
Kosmo! Online 19 Mei lalu melaporkan seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa ditampar wardennya sehingga cedera kerana memakan beberapa keping roti tanpa kebenaran.
Difahamkan, roti yang dimakan mangsa merupakan sebahagian sarapan semua pelajar tahfiz itu bagi keesokan hari. – KOSMO! ONLINE