TOKYO – Seorang lelaki di Jepun menjadi sensasi internet selepas penampilannya berubah 360 darjah menjadi kacak, hasil daripada mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani prosedur kecantikan, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Lelaki dikenali sebagai Aki, 33, berkongsi perkara itu dalam program televisyen popular, Abema.
Menurut Aki, transformasi dramatik itu berlaku selepas dia dihina oleh majikan sendiri sebelum berpisah dengan teman wanitanya tidak lama kemudian.
Aki mengamalkan rutin harian yang ketat untuk mengubah nasibnya termasuk memakai krim pelindung matahari setiap masa, bersenam, melakukan pemeriksaan secara berkala dan berkunjung ke klinik kulit.
Selain berhenti merokok dan tidur pada awal waktu, dia juga menjalani beberapa prosedur kecantikan.
“Kulit saya kini kelihatan sama seperti 10 tahun lalu. Saya juga dilayan dengan lebih baik sejak penampilan saya berubah.
“Kelihatan muda memberikan saya kelebihan dalam pekerjaan dan cinta,” tambah Aki. – AGENSI