MEKAH – Penggiat teater yang juga pelakon, Dr. Rosdeen Suboh memilih untuk melaksanakan haji ifrad meskipun terpaksa memakai ihram serta mematuhi larangan-larangan ihram dalam tempoh yang lebih lama berbanding mengerjakan haji tamatuk.
Pensyarah Kanan di Universiti Malaya itu juga berkata, selain dirinya, ibu serta adiknya turut melakukan haji ifrad kecuali bapanya yang membuat haji tamatuk.

“Saya memilih haji ifrad ini kerana saya rasa ini peluang kali pertama dan terakhir saya (mengerjakan haji). Jadi saya ingin merasakan macam mana membuat haji dahulu kemudian diikuti umrah.
“Jadi sepanjang tempoh ini saya akan berada kira-kira 17 hari dalam ihram, untuk habis sampai haji, tawaf haji dan umrah wajib,” katanya ketika ditemui di Abraj Al Janadriyah, di sini xxxx kelmarin.
Haji ifrad adalah mengerjakan haji terlebih dahulu dengan diikuti ibadah umrah sebaik sahaja ibadah haji selesai dilaksanakan dalam bulan-bulan haji.
Majoriti jemaah Malaysia selalunya mengerjakan haji tamatuk iaitu mengerjakan ibadah umrah terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadah haji.
Berkongsi cabaran yang perlu dihadapinya ketika berihram, Rosdeen berkata, terdetik di hatinya apabila melihat orang lain yang melaksanakan haji tamatuk sudah berpakaian biasa.
“Itu satu cabaran yang saya lihat semua orang sudah selesa, saya pula tidur terpaksa pakai ini, banyak perkara saya terpaksa jaga. Alhamdulillah saya sudah bercukur sebelum berniat ihram dan haji ifrad.
“Cuma saya ada masalah berkaitan bau. Itu memang mencabar betul, selalu kita makan pun kita cium tangan berbau, jadi perkara itu kita terpaksa fokus seperti ketika tidur,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, antara cabaran lain adalah ketika mengambil wuduk serta larangan ihram yang tidak membenarkan kepala ditutup meskipun Tanah Suci kini berdepan dengan cuaca panas.
“Jadi saya tadi solat Jumaat di dataran Masjidil Haram memang sangat-sangat mencabar. Itu pertama kali saya solat Jumaat di sini (keadaan sesak dan ramai orang) dengan dua tiga jam duduk sebelum solat di bawah panas mentari. Alhamdulillah dapat bersolat di dataran itu hingga ke asar.
“Sebelum saya ke Tanah Suci saya minta doa banyak-banyak, insya-Allah saya akan lakukan terbaik. Ketika berada di atas kapal terbang itu saya berniat, saya tekad untuk pilih haji ifrad,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Hilmi Hata, 44, dan Noorhazlina Noordin, 40-an, mereka memilih untuk mengerjakan haji ifrad serta perlu berada dalam ihram kira-kira 16 hari selepas tiba di Tanah Suci pada 23 Mei lalu.
“Saya anggap ini macam orang kata kita berpuasa 30 hari kan? Selepas itu, kita beraya. Itulah selepas tahalul awal itu saya mungkin dapat rasa kemanisan haji ifrad ini.
“Setiap masa kita berihram, walau nak pergi sidai baju, turun ke kafe kena pakai. Bila tengok orang lain kita rasa tergugat jugalah namun niat kena kuat, azam kena kuat supaya dapat teruskan haji ifrat ini,” katanya.
Ujarnya, beliau serta isteri berharap agar haji yang dikerjakan mereka itu mendapat keberkatan daripada Allah Taala.
“Harapannya tidak adalah terlanggar pantang larang dia, akhir sekali saya harap dapat haji yang mabrurlah. Itu harapan besar kami,” tambah bapa tiga anak itu. – KOSMO! ONLINE.