PETALING JAYA – Remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Puncak Alam dekat sini pada pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan mengenai kehilangan remaja 14 tahun itu dibuat ibunya semalam kira-kira pukul 9.41 malam.
Jelas beliau, remaja terbabit dikenali sebagai Izz Raaid Mohd Arif dan beralamat di Seksyen 13, Bandar Puncak Alam.
“Siasatan awal mendapati, ketika keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi pada hari kejadian, remaja berkenaan memakai baju jersi berwarna hitam putih lengan pendek, seluar trak hitam berjalur putih dan kasut Adidas hitam.
“Remaja berkenaan berbadan kurus dan tinggi dengan anggaran ketinggian 168 sentimeter serta berat 52 kilogram,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat remaja itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262.-KOSMO! ONLINE