fbpx

Bekalan putus, stok lama pil kuda di Kelantan semurah RM5 sebiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusoff (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr. Mohammad Ismail pada Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Harga sebiji pil kuda menurun kepada RM5 berbanding RM11 susulan kekurangan bekalan dadah tersebut masuk ke negara ini selepas kawalan ketat di kawasan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan di sempadan itu menjadikan bekalan pil kuda dari Thailand sukar untuk lolos ke negara ini.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan bekalan baharu pil kuda sukar dijual sehingga pengedar terpaksa menurunkan harga stok lama dadah tersebut untuk dijual kepada pelanggan.

“Sebelum ini, pil kuda dijual pada harga RM11 sebiji. Kini, dadah tersebut dijual pada harga RM5 hingga RM6 sebiji kerana pengedar terpaksa menjual stok lama dadah tersebut yang kebanyakannya sudah lama dan hampir tamat tempoh.

“Keadaan stok lama pil kuda itu juga dilihat berbeza dengan yang baharu apabila warnanya juga semakin pudar dan kesan pengambilan juga berkurangan,” pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mohd. Yusoff menegaskan, penurunan harga sebiji pil kuda di Kelantan bukan disebabkan oleh lambakan stok dadah tersebut, sebaliknya berlaku kekurangan bekalan sejak kawalan ketat di sempadan.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan pengedar terpaksa menjual pil kuda dalam kuantiti yang sedikit kerana mereka sudah kurang menyimpan stok baharu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, jenayah rentas sempadan di negeri ini dapat dikurangkan sebanyak 90 peratus sejak operasi besar-besaran dilaksanakan di kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.

Datuk Mohd. Yusoff berkata, penguatkuasaan itu membantu mengurangkan kes jenayah penyeludupan dan penggunaan pangkalan haram di Sungai Golok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI