KUALA LUMPUR – Tiga kediaman mewah di London antara tujuh hartanah dan satu akaun bank milik isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga berjaya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini yang kesemuanya bernilai GBP£ (Great British Pound) 132 juta (RM758.2 juta).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan kesemua harta itu pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte) hari ini.
Sebelum ini, SPRM membuat permohonan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Aset yang dibekukan termasuk dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah dan satu akaun bank yang kesemuanya berada di London, manakala akaun bank itu dikatakan berdaftar atas nama Yayasan Ilham.
Perintah mahkamah itu kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset itu.
Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat terbaru dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi Daim dan keluarga.
Susulan itu pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
Azam berkata, aset berkenaan dikesan di Switzerland dan United Kingdom serta beberapa negara lain.
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham Daim sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023. – KOSMO! ONLINE