Oleh NUR DANIA ASFA ABDL. GHANI (PELATIH AMALI USM)
3 Jun 2025, 8:30 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMYRA akan terus memberi sokongan buat suaminya, Amar yang kini aktif terlibat dalam sukan berbasikal.
SEMANGAT luar biasa dan kecekalan pelakon Amar Baharin dalam menyempurnakan misi menunaikan ibadah dengan berbasikal dari Malaysia ke Tanah Haram sememangnya mengagumkan.
Misi yang dianggap ‘gila’ oleh segelintir netizen itu bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal yang luar biasa tetapi memerlukan kekuatan mental tinggi.
Biarpun kembara berbasikal si suami mengambil masa yang panjang, Amyra Rosli atau nama lengkapnya Nur Amira Izzati Rosli, 33, tetap tenang dan tidak berasa bimbang kerana segala perancangan dilakukan Amar secara teliti sebelum memulakan perjalanan.
“Daripada aspek kewangan, tanggungjawab sehinggalah perkara kecil, semuanya telah diatur rapi. Jadi saya rasa tenang apabila dia pergi.
“Saya dengan Amar pun bukan sehari atau dua bincang perkara ini tetapi mengambil masa selama setahun untuk pastikan semuanya jelas,” ujarnya.
SEBAGAI isteri Amyra meletakkan sepenuh percayaan terhadap Amar dan mengakui suaminya itu seorang yang bertanggungjawab.
Berkongsi tentang perasaannya jika Amar mempunyai perancangan seterusnya untuk ke lokasi yang lebih jauh, pelakon drama Nur itu enggan mengulas lanjut. Dia bimbang kenyataannya menimbulkan kekeliruan kemudian hari.
“Kali ini mungkin saya rasa okey sahaja sebab dia (suami) mahu pergi ke Madinah dan Mekah.
“Tetapi selepas ini jika dia berbasikal ke tempat lain yang jauh, saya rasa kena tengok keadaan ketika itu.
“Saya pun tidak banyak nak cakap sebab kalau saya kata ‘ya’, takut nanti saya pula tidak suka.
“Kalau saya kata ‘tak’, rasa macam ‘eh, baguslah juga untuk dia’.
“Jadi kita bergantung kepada keadaan. Kalau Amar bawa saya sekali pun, seronok juga,” ujarnya.
Tidak halang
Sebagai isteri, Amyra Rosli tidak pernah menghalang minat suaminya melakukan aktiviti berbasikal selagi Amar tahu menggalas amanah dan tanggungjawab.
Dia juga sentiasa menekankan aspek komunikasi dan kepercayaan dalam membuat sebarang keputusan terutama apabila mereka berjauhan.
“Saya tidak kisah pun kalau Amar mahu berjalan atau lakukan sesuatu yang dia minat, janji tahu batas.
“Asalkan dia jaga keluarga, setia dan tahu apa yang dia buat. Saya pun ada kehidupan saya sendiri di rumah.
“Jika ada apa-apa yang kita tidak setuju, luahkan sahaja kepada suami. Bergaduh itu nombor dua, yang penting dua-dua tahu apa yang perlu buat dan hak masing-masing, saya okey.
“Komunikasi dan percaya antara satu sama lain itu penting dalam setiap perkahwinan,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE