LONDON – Arsenal semakin hampir untuk mengikat penyerang muda berpotensi besar, Igor Tyjon yang dianggarkan bernilai lebih £1 juta (RM5.74 juta) termasuk bonus prestasi.
Berdasarkan laporan di England, Arsenal kini perlumbaan dengan Manchester United untuk mendapatkan servis wonderkid Blackburn Rovers itu yang juga dianggap salah seorang prospek menyerang berbakat di negara itu.
Tyjon mencipta sensasi sekitar September lepas apabila menjadi pemain muda ketiga Blackburn membuat debut dalam skuad utama selepas cemerlang meledak gol demi gol di peringkat bawah 17 dan 21 tahun.
Pemain yang boleh mewakili England dan Poland itu lebih cenderung untuk berhijrah ke Stadium Emirates kerana kemampuan Arsenal mengembangkan bakat-bakat muda seperti Ethan Nwaneri dan Myles Lewis-Skelly musim ini.
Biarpun Tyjon tidak akan terus berada dalam perancangan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, namun dia bakal diberikan peluang berlatih secara kerap bersama skuad utama sekali gus membuka jalan buat dirinya.
Bagi saingan musim depan, Arsenal memerlukan sentuhan penyerang berprofil tinggi seperti Benjamin Sesko (RB Leipzig) dan Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon) untuk mencabar gelaran.
Kehadiran Tyjon semestinya memberikan nilai tambah kepada jentera serangan Arsenal seperti ditunjukkan Lewis-Skelly yang baru dinaikkan pangkat ke skuad utama musim lalu, namun kini sudah menjadi anggota tetap skuad kebangsaan England.
Sebagai rekod, Tyjon dilabel sebagai pemain paling berbakat di Blackburn selepas kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu menjual seorang lagi bintang masa depan England, Adam Wharton kepada Crystal Palace pada Februari 2024. – AGENSI