GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan diberkas selepas disyaki mencederakan seorang wanita menggunakan grip pistol hingga parah pada hidung dan mata, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, tangkapan itu dibuat selepas suspek berusia 41 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Turut dirampas sepucuk pistol, kelopak peluru dan lesen senjata api.
“Polis menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun pada pukul 5.56 petang kelmarin. Wanita itu dicederakan oleh suspek dengan grip pistol berhampiran Jalan Kelawai pada pukul 2.20 pagi.
“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham ketika berada jalan raya sewaktu kedua-dua mereka melalui tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE