BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak memerlukan aksi di kemuncak prestasi untuk mencatat kemenangan sebaik sahaja menyambar gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura minggu lalu.
Pada perlawanan akhir kelmarin, gandingan No. 3 dunia itu memastikan gelaran Jelajah Dunia Super 750 itu menjadi milik mereka selepas menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19.
Meskipun sudah beraksi dalam tiga kejohanan berturut-turut termasuk Terbuka Thailand dan Malaysia Masters, namun prestasi mereka tidak menunjukkan tanda-tanda menurun apabila berjaya mengekalkan momentum.
Wooi Yik tanpa berselindung berkata, mereka tidak perlu berada di kemuncak prestasi, sebaliknya aksi sebanyak 50 hingga 60 peratus sudah memadai untuk mereka mencabar beregu-beregu terbaik dunia.
“Sekiranya kami berikan sepenuh kudrat ketika dalam latihan, saya rasa sudah cukup untuk kami berikan 50 atau 60 peratus sahaja dalam kejohanan. Secara jujur, kami rasa boleh buat lebih baik.
“Kami hanya perlu membantu dan menyokong antara satu sama lain dan elakkan daripada mengikut rentak permainan lawan. Dari situlah kami paksa mereka (Won Ho-Seung Jae) buat silap,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aaron-Wooi Yik boleh dianggap berada pada kondisi terbaik sepanjang karier mereka apabila berjaya meraih tiga gelaran tahun ini iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Singapura dan Terbuka Thailand.
Sementara itu, Aaron memberikan kredit kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang menjadi tunjang atas kebangkitan mereka pada saingan musim ini.
“Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan menggilap aspek teknikal kami. Ia membuatkan kami lebih yakin untuk mengeluarkan permainan sama seperti apa yang dirancang,” ujar pemain dari Melaka itu.