PETALING JAYA – Tindakan selamba pemandu sebuah kereta yang didakwa tidak menghiraukan mangsa dalam satu kemalangan dengan motosikal di Binjai, Kelantan, semalam, cetus kemarahan orang ramai.
Sebuah klip berdurasi 40 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah motosikal dengan kelajuan luar biasa telah merempuh kereta jenis Perodua Myvi ketika ingin memasuki sebuah simpang.
Menerusi video berkenaan juga, pemandu kereta tersebut yang dilihat keluar daripada kenderaan, namun dalam keadaan yang tidak cemas dan terus memeriksa keadaan keretanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berpendapat pemandu kereta tersebut tidak bertanggungjawab kerana tidak mendahulukan keadaan mangsa.
“Motosikal itu bawa laju ke perlahan, itu memang jalan dia, akal pemandu kereta tersebut yang tak panjangnya. Jalan clear (jelas) baru boleh masuk simpang,” kata @FaizulHisyam.
“Pemandu kereta Myvi itu yang salah, tetapi dia tidak bertanggungjawab langsung pada mangsa,” komen @NazrieYie.
Dalam pada itu, ramai juga yang berpendapat pemandu motosikal tersebut sepatutnya berwaspada dengan had kelajuan lebih-lebih lagi di kawasan persimpangan.
“Sudah tahu jalan biasa dan ada banyak simpang tak reti nak berwaspada! Segelintir penunggang motosikal tidak fikir yang salah, akhirnya pemandu yang akan kena teruk. Kalau mahu laju masuk highway (lebuh raya),” ujar @Vijayansubramaniam.
“Macam peluru motosikal itu pergi, harap pemandu baik sahaja tapi dengan kelajuan motosikal macam itu aku rasa kereta tidak akan perasan sebab depan Myvi ada kereta lain dan ada orang jual tepi jalan. Memang susah nak perasan,” balas @Adlepawana. – KOSMO! ONLINE