MUNICH – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi mengakui sedang fikir untuk mengibarkan ‘bendera putih’ selepas gagal membantu pasukan menjulang sebarang trofi apabila tewas 0-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG) di final Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad Nerazzurri mempamerkan aksi ‘longlai’ apabila pasukan PSG mudah mendominasi perlawanan sebelum meledak jaringan menerusi empat penjaring berbeza.
Kata Inzaghi, pasukan Le Parisiens layak untuk digelar sebagai ‘raja Eropah’ yang baharu selepas menguasai kejohanan berprestij itu bermula di peringkat kalah mati lagi.
“Saya rasa PSG berhak untuk menang, tetapi sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini. Corak permainan kita tidak cukup bagus. Namun, saya masih bangga dengan apa yang pemain tampilkan sepanjang musim ini.
“Kekalahan ini diharap dapat membuka semula mata semua pihak untuk bangkit semula dengan lebih sengit pada masa akan datang.
“Secara peribadi, bukan mudah untuk tewas kali kedua di pentas final UCL dalam tempoh tiga tahun dan ini lebih perit untuk ditelan berbanding edisi 2023 (ketika tewas kepada Manchester City 1-0),” katanya.
Sementara itu, Inzaghi memberi bayangan untuk tidak sambung kontrak bersama Inter selepas mendapat tawaran lumayan daripada kelab Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal.
“Saya masih belum fikirkan tentang masa depan dan harap dapat berbincang dengan presiden kelab beberapa hari lagi,” katanya. – AGENSI