BARCELONA – Kapten Barcelona, Marc-Andre ter Stegen menepis segala spekulasi dengan mendakwa dia akan kekal menyarung jersi juara Sepanyol itu musim depan.
Ia susulan khabar angin mengatakan Barcelona sudah mencapai persetujuan lisan untuk menandatangani penjaga gol lebih muda dari Espanyol, Joan Garcia yang dilihat sebagai penggantinya pada masa depan.
Bagaimanapun, Ter Stegen langsung tidak panik, sebaliknya penjaga gol berpengalaman Jerman itu tekad untuk mengekalkan statusnya sebagai pilihan utama di Barcelona.
“Adakah khabar angin kelab mahu menjual saya menyebabkan saya terjejas? Tiada sesiapa memberitahu saya mengenai perkara ini.
“Saya belum bercakap dengan Hansi Flick (pengendali Barcelona) kerana saya merasakan tiada sebab untuk berbuat sedemikian.
“Jadi saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi saya tidak risau. Saya tahu saya akan berada di Barcelona lagi tahun depan,” katanya.
Penjaga gol berusia 33 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga 2028, terlepas hampir keseluruhan aksi musim ini disebabkan kecederaan lutut menyebabkannya perlu menjalani pembedahan.
Situasi itu menyaksikan Barcelona terpaksa memujuk bekas penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny, 35, keluar daripada persaraan untuk mengisi kekosongan tersebut dengan kontrak semusim sahaja. – AGENSI