fbpx

Tempurung kepala dibuang, leher ditebuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Izani membantu menguruskan Izwan yang hanya terlantar di atas katil di rumah mereka di Kampung Putu, Lipis sejak enam tahun lalu selepas terlibat kemalangan jalan raya.

LIPIS – Seorang pemuda di Kampung Putu, Kerambit dekat sini terpaksa bergantung sepenuh­nya kepada ahli keluarga selepas tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat terlibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu.

Muhammad Izwan Syafar Mohamad Izani, 25, yang ketika itu merupakan pelajar GiatMARA Jerantut juga terpaksa menghabiskan sepenuh masanya de­ngan hanya terlantar di atas katil.

Bapanya, Mohamad Izani Mohd Rozi, 48, berkata, selain tempurung kepala terpaksa dibuang, anaknya juga mengalami kesukaran bernafas hingga memerlukan prosedur tebuk di bahagian leher.

“Izwan terlibat dalam nahas bersama tiga rakannya ketika keluar membeli barang dapur. Malang tidak berbau apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh tiang elektrik.

“Kejadian tragis itu mengorbankan salah seorang rakannya, manakala Izwan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya di Kampung Putu, Kerambit di sini, baru-baru ini.
Mohamad Izani berkata, Izwan yang juga anak sulung daripada tiga beradik kemudian dirawat selama sebulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Kini sudah masuk enam tahun Izwan terlantar, selain tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri, dia juga hanya boleh menerima susu khas yang disalurkan melalui hidung.

“Tahap kesihatan Izwan juga tidak menentu kerana dia sering diserang sawan menyebabkannya perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohamad Izani berkata, per­belanjaan yang tinggi juga diperlukan untuk rawatan anaknya termasuk membeli susu khas yang berharga RM101 setin yang bertahan dua hari sahaja dan memerlukan sekurang-kurang­nya 15 tin setiap bulan.

Dia yang tidak lagi bekerja akibat komplikasi penyakit kencing manis berkata, segala keperluan dan perbelanjaan keluarga kini bergantung sepenuhnya pada anak keduanya, Muhammad Afizal Iqbal, 21, yang bekerja sebagai penghantar barang.

“Izwan mene­rima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan bantuan lampin pakai buang bernilai RM200 daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), namun ia masih belum mencukupi,” ujarnya.

Dalam pada itu, mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 010-9061343 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 6929816820 (Mohamad Izani).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI