fbpx

Sidang Kemuncak ASEAN adalah yang terbaik dalam sejarah – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim (lima dari kiri) bersama Ketua-Ketua negara ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah ASEAN dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi.

Beliau berkata, Malaysia berjaya mempertemukan tiga benua gergasi yakni Negara-negara Teluk atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN dalam usaha menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarak ekonomi rakyat dan negara.

Selain itu, beliau berkata, ia juga dapat merapatkan lagi hubungan antara negara dalam pelbagai bidang yang punyai kepentingan bersama.

“Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN pada tahun ini memperkukuh kedudukan negara sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau.

“Pendekatan tuntas dan terangkum diambil membuka ruang kerjasama pelbagai bidang, termasuk perdagangan, teknologi hijau, keterjaminan makanan dan keamanan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istana Negara sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.

Tambah Anwar, Sidang Kemuncak ASEAN serta penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi membuktikan betapa semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam usaha menterjemahkan hasrat dan cita negara.

Katanya, kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi dan kehebatan
Polis Diraja Malaysia dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur sungguh mengagumkan.

“Insya-Allah, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan.

“Ia bukan sekadar agenda pelancongan, tetapi juga merupakan manifestasi kecintaan terhadap tanah air, budaya dan warisan.

“Negara bersedia menerima kehadiran dunia dengan senyuman, keramahan, dan semangat kekitaan yang tulus dari setiap rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN