PETALING JAYA – “Nak tanya kalau orang rasa diri dia terpaling gengster kawasan ni, nak buat apa ya? Macam dia yang buat jalan?”.
Itu luahan panas seorang wanita dikenali sebagai Sadila selepas mendakwa cermin sisi keretanya dipatahkan manakala kesemua pintu diconteng gara-gara meletakkan kenderaan di petak parkir yang dikatakan sudah ‘dicop’ penduduk menggunakan kerusi.
Insiden itu dikongsikan menerusi satu hantaran di aplikasi Threads miliknya yang kini tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Terima kasih kepada ‘makhluk Tuhan’ yang conteng dan mengepakkan side mirror (cermin sisi) kereta saya sebab saya park dekat kawasan kosong yang awak selalu cop pakai kerusi.
“Saya parking pun sebab tempat tu kosong, bukan saya main parking je,” tulisnya.
Menurut Sadila, dia telah membuat laporan polis dan turut memaklumkan kejadian kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan lanjut.
Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata netizen meluahkan pengalaman hampir sama apabila berdepan insiden tidak masuk akal disebabkan budaya ‘cop’ parkir.
“Dulu mak cik aku sewa sini lah. Aku datang rumah dia, pastu park la kat tempat kosong. Ada seorang mak cik ni, dia jerit cakap tu parking anak dia,” kata seorang pengguna.
“Saya pernah kena, kak. Sebab saya tak tahu pasal budaya cop ni. Patutnya siapa cepat, dia dapat la parking tu. Lepastu, kereta saya kena calar, polish pun tak boleh hilang,” luah pengguna lain. – KOSMO! ONLINE