fbpx

Polis siasat Ketua Pemuda DAP isu karikatur Razman berpakaian seperti badut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Leong (duduk, dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri Perak, Ipoh hari ini.

IPOH – Ketua DAP, Woo Kah Leong disoal siasat polis hari ini berhubung hantaran dalam media sosialnya didakwa karikatur Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berpakaian seperti badut pada 10 April lalu.

Peguamnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata, dua orang pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah mengambil keterangan Kah Leong selama kira-kira 30 minit di pejabat exconya.

“Kami telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan perkara ini disiasat oleh IPD Gerik. Rakaman percakapan pun telah diambil.

“Soalan-soalan telah diajukan dan telah dijawab oleh saudara Kah Leong. Kita telah memberi kerjasama penuh untuk siasatan ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri Perak di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui individu yang membuat laporan polis selain tarikhnya.

Syahredzan berkata, polis turut merampas telefon pintar jenis iPhone dan kad sim Kah Leong bagi membantu siasatan selain memberikan kerjasama penuh.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Muhammad Firdaus Abdullah mengesahkan telah mengambil rekod Kah Leong.

Katanya ringkas, ia adalah satu proses biasa dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI