KUALA TERENGGANU – Dua lagi penduduk Terengganu menjadi mangsa penipuan skim cabutan bertuah bank palsu semalam melibatkan kerugian RM19,599.
Setakat ini, sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama berjaya memerangkap 12 mangsa di negeri ini dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM259,103.57 sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua mangsa kehilangan wang dalam akaun simpanan mereka setelah menekan pautan kononnya peraduan cabutan bertuah anjuran sebuah bank tempatan terbabit.
“Kejadian terbaharu berlaku semalam melibatkan seorang peniaga lelaki dan guru wanita masing-masing berusia 52 tahun.
“Mereka masing-masing kerugian RM14, 110 dan RM5,499 akibat diperdaya sindiket penipuan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, mangsa pertama yang merupakan peniaga lelaki telah menekan pautan peraduan cabutan bertuah kononnya anjuran sebuah bank tempatan dalam laman Facebook di rumahnya di Pengadang Baru di sini pukul 7.15 pagi semalam.
Beliau berkata, mangsa menerima notifikasi pengeluaran wang simpanannya di tiga akaun bank tersebut tanpa pengetahuannya Beberapa minit kemudian.
Azli berkata, mangsa kedua pula hanya menyedari wang simpanannya telah lesap apabila membuat semakan di cawangan bank tersebut di Dataran Austin, Kuala Nerus setelah pengeluaran wang dalam talian menerusi aplikasi di telefon bimbitnya tidak dapat digunakan sejak kelmarin. – KOSMO! ONLINE