BESUT – Seramai 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut teruja menanam anak benih batu karang tanduk rusa atau dikenali sebagai staghorn di dasar perairan Pulau Perhentian dekat sini hari ini.
Penyelaras Program Pemulihan Karang Pulau Perhentian, Aznan Abas berkata, inisiatif pelajar terbabit bertujuan untuk memulihara kelestarian terumbu karang di perairan pulau peranginan terkenal terbabit.
Beliau berkata, usaha penanaman benih batu karang terbabit turut mendapat kerjasama Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Setiu, Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia (APM).
“Seramai 30 pelajar SMK Kuala Besut itu diberi latihan proses penanaman benih batu karang tersebut.
“Mereka mengikat benih batu karang pada rangka besi khas yang kemudiannya diletakkan ke dasar perairan Pulau Perhentian sedalam kira-kira lima meter,” katanya di Pulau Perhentian dekat sini hari ini.
Aznan berkata, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengikat benih batu karang terbabit di dalam air dalam keadaan mereka melakukan aktiviti snorkel.
Jelas beliau, ia bagi meningkatkan lagi peluang benih batu karang berkenaan hidup subur di dasar laut.
“Proses seterusnya rangka besi khas mengandungi benih batu karang itu akan dibawa turun ke dasar laut menerusi aktiviti selam skuba pula.
“Hasil penanaman batu karang staghorn dijangka dapat dilihat dalam tempoh setahun dengan kadar pertumbuhan antara lima hingga tujuh sentimeter,” katanya. – KOSMO! ONLINE