BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan terlalu kecewa dengan kekalahan di suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang menutup gelanggangnya semalam.
Sebaliknya, gandingan No. 4 dunia itu kekal fokus dan sedia untuk menampilkan aksi lebih baik menjelang Terbuka Indonesia yang akan berlangsung di Jakarta bermula esok hingga Ahad depan.
Thinaah berkata, mereka sudah memberikan segala-galanya pada Terbuka Singapura dan kini mahu mengalihkan sepenuh fokus terhadap aksi di Jakarta yang merupakan saingan Jelajah Dunia Super 1000.
“Secara keseluruhan, saya fikir kami sudah memberikan yang terbaik dan saling membantu antara satu sama lain. Sekarang kami hanya perlu fokus apa yang ada di hadapan dan melakukan persiapan sebaiknya.
“Memang agak sedih dan kecewa kerana tewas, terutamanya apabila kami gagal menggunakan peluang sebaiknya di set kedua ketika dapat mengejar mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada aksi suku akhir, Jumaat lalu, Pearly-Thinaah terus kempunan untuk menamatkan badi kekalahan kepada beregu China, Jian Yi Fan-Zhang Shu Xian apabila tewas dalam aksi tiga set 21-14, 22-24, 14-21.
Menjelang pusingan pertama Terbuka Indonesia nanti, bekas juara Terbuka Perancis dan Hong Kong itu dijadualkan bertemu beregu No. 44 dunia dari Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun.
“Saya gembira kerana Pearly sentiasa ada bersama saya walaupun ketika kami berdepan tempoh sukar. Dia sentiasa memberikan sokongan dan mengingatkan saya kami perlu kekal fokus dengan apa yang dilakukan,” ujar Thinaah.