PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi bertemu rakyat dan menyalurkan bantuan kepada golongan fakir miskin.
“Selepas ini saya akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk melihat sendiri kehidupan rakyat dan mengagih zakat kepada orang miskin dan asnaf yang lapar,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut bertitah, tiada hadiah yang lebih istimewa buat Seri Paduka Baginda selain kehidupan rakyat yang bersatu padu.
“Saya pernah sebutkan dulu ada satu virus yang akan melanda negara kita, sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. Awak fikirlah apa virusnya.
“Saya sering mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa.
“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat jelata, berikanlah saya hadiah perpaduan yang kukuh dan berkekalan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya menjaga perpaduan dan kestabilan negara.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
“Begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah belah dan benci-membenci antara satu sama lain.
“Gunakanlah akal sebelum membuat sebarang keputusan,” titah Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE.