fbpx

Nasken miliki identiti tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazif, Mohd. Badrul (dua dari kiri) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) pada majlis pelancaran cawangan baharu di Putrajaya baru-baru ini.

‘Bukan sekadar kopi’, itu adalah slogan syarikat bumiputera yang mengoperasikan 43 cawangan di bawah jenama Nasken Coffee sebahagian besarnya di Pantai Timur yang sentiasa mendapat perhatian pelanggan berkeluarga yang menjadikan ia sebagai satu destinasi terbaik untuk menghimpunkan semua ahli keluarga termasuk warga emas.

Nasken International Sdn. Bhd. (Nasken) mula beroperasi sejak bulan Disember 2019 dengan aspirasi untuk membawa cita rasa warisan Malaysia kepada generasi moden dalam suasana kontemporari dan mesra pelanggan.

Bersandarkan formula tersebut, menu yang ditawarkan juga dipelbagaikan bersesuaian dengan pilihan cita rasa pelanggan daripada segmen nasi, makanan barat, pastri dan kek yang dimasak segar tanpa menggunakan produk dingin beku yang dipanaskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasken, Mohd. Nazif Ab. Aziz berkata, syarikat bercadang untuk menambah 43 cawangan lagi dalam usaha syarikat meluaskan penguasaan pasarannya di luar Pantai Timur dan lebih menarik syarikat menggunakan dana dalaman untuk pelaburan outletnya sebelum ini.

“Semua cawangan dikendalikan oleh ibu pejabat dan kami lebih selesa membuka cawangan di kawasan komuniti berbanding di pusat beli-belah. Kami juga bakal membuka cawangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada bulan Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran outlet terbaharu Nasken di Putrajaya baru-baru ini.

Turut hadir Naib Presiden dan Pegawai Perhubungan Awam Nasken, Mohd. Badrul Insan Kauzi.

KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu Nasken?
Mohd Nazif: Nasken adalah sebuah jenama restoran makanan dan minuman tempatan yang pesat berkembang. Kami memiliki 43 cawangan di seluruh negara tetapi jenama ini popular di Pantai Timur yang mana di Kelantan kami ada 31 outlet, lima cawangan di Terengganu dan satu ca­wangan di Pahang, manakala bakinya terdapat di Lembah Klang.

Nasken terkenal di Pantai Timur, kenapa menu yang ditawarkan tidak bercirikan masakan Pantai Timur?
Mohd Badrul: Kami tawarkan makanan cita rasa Malaysia yang mana semua pelanggan suka makan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga kepada warga emas, sebab itu, Nasken terkenal sebagai restoran keluarga, kerana menu yang kami tawarkan daripada segmen nasi, pastri dan pelbagai lagi. Ia bukan sekadar kopi tetapi menawarkan menu untuk memenuhi cita rasa semua.

Benarkah Nasken meniru konsep pesaing lain dan apa pandangan anda tentang persaingan dalam industri ini?
Mohd. Nazif: Kami tidak meniru mana-mana jenama ke­rana kami memiliki identiti tersendiri. Kami juga tidak bersaing dengan sesiapa, malah kehadiran kami melengkap dan mengimarahkan lagi industri yang besar ini.

Kami ada pasaran tersendiri (niche market) yang mana menu yang disediakan cukup berbeza dengan pesaing dan kami sangat memfokuskan kepada konsep keluarga. Lebih menarik, kami juga tidak menggunakan makanan dingin beku dan dipanaskan lalu dihidangkan kepada pelanggan, menu kami dimasak segar dari dapur.

Apa perancangan terbaharu untuk luaskan pasaran Nasken?
Mohd Badrul: Kami bercadang untuk membuka 43 cawangan baharu menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini.

Outlet di Putrajaya ini adalah yang ke-43 dan kami memilih Putrajaya ke­rana ia adalah pusat pentadbiran kerajaan dan ia dijadikan sebagai simbolik kami untuk meluaskan rangkaian ke seluruh negara secara berperingkat.

Seterusnya kami juga akan menembusi pasaran antarabangsa dan antara pasaran yang diintai adalah di Mekah dan Madinah, perancangan ke arah itu sedang rancak dijalankan dan ia bakal diumumkan tidak lama lagi.

Kami juga sedang menyusun strategi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, yang mana ia sedang dirangka dengan melantik peguam untuk proses sete­rusnya.

Boleh jelaskan pensijilan halal yang telah diterima oleh syarikat?
Mohd. Badrul: Kami memiliki kilang kek yang sudah dapat pensijilan halal dan kilang pengeluaran bahan mentah syarikat juga sudah mendapat sijil halal.

Jadi kami tidak ada kerisauan tentang sumber bahan mentah untuk dibekalkan kepada cawangan-cawangan kerana kami memiliki kilang sendiri dan lebih baik, kami sudah dapat pensijilan halal.

Tentang logistik, kami uruskan sendiri juga, ini akan lebih menyakinkan pelanggan. Kami sedang membuat permohonan untuk mendapatkan sijil halal di cawangan-cawangan kami di Kelantan terlebih dahulu.

Kami tidak boleh dapatkan sijil halal untuk semua cawangan, jadi satu cawangan perlu dapatkan sijil halal secara berasingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI