JEMPOL – Seorang lelaki warganegara Bangladesh disahkan meninggal dunia semalam selepas seminggu dirawat di hospital akibat nahas langgar seekor lembu di Kilometer 25, Jalan Bahau – Kemayan, di sini, pukul 8 malam, 25 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Naem Hossen, 21, pekerja kilang makan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dikejarkan ke hospital.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave datang dari arah Kemayan menuju ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian semasa sedang bergerak terus, penunggang motosikal tersebut dipercayai telah terlanggar seekor lembu yang melintas masuk ke laluannya sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan arah bertentangan.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah untuk menerima rawatan tetapi pada 11.25 malam semalam, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Norhisham lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan.
Sehubungan itu, pihak polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE