EDMONTON, KANADA – Seekor kucing terbiar berjaya menjalani pembedahan bagi membuang anggota badan tambahan selepas ia ditemukan mempunyai enam kaki, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Kucing moggie dinamakan Bitsy itu menderita akibat tumor dan dipercayai menyerap kaki kembarnya di bahagian belakang.
“Bitsy mempunyai enam kaki. Keadaannya berkemungkinan besar disebabkan oleh penyerapan sebahagian daripada kembarnya ketika di dalam rahim.
“Ia dilahirkan dengan pelvis tambahan dan dua kaki tambahan,” kata pertubuhan penyelamat yang menemukan Bitsy, Furget Me Not Animal Rescue.
Tambah jurucakap pertubuhan itu, anggota badan tambahan Bitsy membuatkan haiwan tersebut mengalami kesukaran untuk bergerak dan berasa sakit.
Dalam pembedahan yang dijalankan, tiga kaki Bitsy dibuang termasuk satu kaki yang berada dalam keadaan terpusing ke belakang bagi menghentikan kesakitannya.
Pasukan perubatan haiwan berkata, selepas pembedahan selama dua jam, Bitsy dapat berbaring dengan selesa dan bergerak lebih cergas.
Ia kini dipelihara oleh seorang pengurus veterinar yang bertekad untuk terus membantu haiwan itu mendapatkan rawatan perubatan. – AGENSI