LONDON – Kejayaan menjulang trofi Liga Konferens Europa memberikan kepercayaan baharu buat Chelsea menjelang saingan musim baharu 2025/26 yang dijangka menjanjikan persaingan lebih sengit.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca mengharapkan kemenangan itu menjadi detik kebangkitan memandangkan ia dianggap sebagai proses menimba pengalaman berdasarkan barisan skuad muda yang dimiliki.
Maresca gembira dan bangga dengan pencapaian pasukan sepanjang kempen kali ini kerana mereka bukan sahaja memenangi Liga Konferens, malah turut melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
“Saya harap prestasi ditampilkan sepanjang musim ini mampu menjadi detik permulaan untuk kami membina mentaliti juara dalam pasukan. Trofi Liga Konferens memberikan kami lebih keyakinan untuk menjadi pasukan terbaik.
“Saya sangat bangga dengan perjalanan kami sepanjang musim ini, termasuk dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Ia merupakan saingan liga paling sukar di dunia, jadi anda perlu kekal konsisten sepanjang 38 perlawanan,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memuji sumbangan yang diberikan bintang The Blues, Cole Palmer sepanjang saingan musim ini meskipun prestasinya agak menurun sebaik sahaja kempen semakin hampir ke penghujung.
“Kita semua tahu bahawa Palmer merupakan antara pemain terbaik dan kami perlu membantunya untuk berada di landasan yang betul. Apabila berada pada prestasi terbaik, dia boleh buat keputusan untuk melakukan umpanan atau jaringan,” ujar Maresca. – AGENSI