fbpx

‘Berenang 400 meter di laut, Ayden anak yang kuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA menangis menyaksikan kejayaan anaknya, Ayden berjaya menamatkan renangan 400 meter di acara Pesta Renang Langkawi 2025.

PETALING JAYA – Pertama kali anak sulung sertai acara renang, pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengakui timbul perasaan ragu-ragu dengan kemampuan puteranya itu.

Menurut Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, Ayden Adrean, 8, hanya berlatih selama tujuh hari sebelum menyertai acara Pesta Renang Langkawi (LSF) 2025 di Tanjung Rhu, Langkawi, semalam.

“Pertandingan renang pertama anak saya, 400 meter (m) di laut dengan hanya lebih kurang seminggu berlatih.

“Memang sangat takut sampai suara tak keluar (air mata saja yang mengalir).

“Saya sendiri tak pasti sama ada dia mampu lakukan tetapi dia berjaya. Dia berenang sepenuh hati dan sampai ke garisan penamat,” katanya dalam Instagram.

Pada masa sama, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu menitiskan air mata melihat kesungguhan anaknya menghabiskan perlumbaan terbabit.

“Sebagai seorang yang langsung tidak tahu berenang (kerana trauma dan kenangan silam yang gelap), melihat anak saya berada di tengah laut terasa seperti jantung berada di luar tubuh.

“Tetapi dia begitu berani, kuat dan bersemangat. Dia habiskan perlumbaan itu.

“Saya dan seluruh keluarga pun menangis kerana dia berjaya. Anak saya yang kuat, Ayden,” luahnya.

Sebagai ibu tunggal, Bella juga akan menyokong penuh apa sahaja yang dilakukan anaknya.

“Kamu anak sulung mommy, kebangaan mommy dan segalanya buat mommy. Sebagai ibu dan ayah, mommy akan lindungi, pimpin, sorak dan sayangi kamu tanpa henti.

“Mommy sayang kamu sangat. Lebih dari apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Kesungguhan Ayden memerah kudrat akhirnya berjaya menamatkan renangan 400m dengan catatan 16:21s.

Selain Ayden, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq turut menyertai perlumbaan renang di Langkawi. Dia menamatkan renangan sejauh empat kilometer (km) dalam masa dua jam enam minit 28 saat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI