KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di Dataran Merdeka yang videonya tular di laman sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, satu laporan maklumat pertama (FIR) telah dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan penularan video berkenaan.
Menurutnya, kejadian berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan individu yang terlibat dalam pergaduhan tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video pergaduhan di Dataran Merdeka di sini, yang dikatakan berlaku malam kelmarin.
Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan ada antaranya membaling topi keledar.
Kejadian turut disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat berkumpul di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE