fbpx
Percutian penulis ke Madrid, Lisbon dan Geneva berdepan dengan beberapa insiden malang termasuklah blackout di seluruh Sepanyol lebih 10 jam sehingga tren tidak berfungsi dan merekodkan 30,000 langkah dalam sehari.

Percutian malang, ‘blackout’ lebih 10 jam satu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH penerbangan panjang dari Kuala Lumpur, kami transit di Jeddah, Arab Saudi selama lapan jam, sebelum tiba di Madrid, Sepanyol.

Alhamdulillah, urusan imigresen berjalan lancar dan kami hanya menaiki tren metro untuk ke hotel yang terletak di kawasan Atocha.

Sebaik selesai daftar masuk, niat asal hanyalah berehat seketika. Namun, saya dan rakan terlelap lebih lama daripada yang dijangka sehingga waktu subuh.

Keesokan harinya, dengan semangat yang berkobar-kobar, kami bersiap untuk mula menjelajah kota Madrid.

Cuaca cukup baik pada awalnya, namun ketika berjalan sebelum waktu makan tengah hari, tiba-tiba berlaku gangguan bekalan elektrik.

Pada awalnya, kami sangka hanya kawasan itu yang terjejas, rupa-rupanya kami terjebak dengan insiden seluruh negara mengalami blackout besar-besaran.

Situasi ini berlanjutan selama lebih 10 jam. Akibatnya, kami terpaksa berjalan hampir ke semua tempat kerana sistem tren metro lumpuh sepenuhnya dan orang ramai hanya bergantung kepada bas.

Tanpa sedar, kami hampir mencapai 30,000 langkah dalam sehari.

Keesokan paginya, semangat kami kembali pulih. Kami bangun seawal subuh dengan harapan untuk menaiki kereta api ke Granada dan menikmati keindahan Andalusia.

Namun, sebaik tiba di Stesen Atocha, suasana penuh dengan orang ramai, skrin maklumat pula menunjukkan kelewatan dan pembatalan.

Malang berlarutan apabila kereta api kami ke Granada dibatalkan. Walaupun bekalan elektrik telah pulih, namun kesan daripada gangguan semalam masih belum baik sepenuhnya.

Kami tiada pilihan lain selain membuat keputusan melanjutkan penginapan di Madrid beberapa hari lagi.

Kecewa? Sudah tentu. Granada dan Malaga merupakan antara destinasi utama kami tetapi apa yang berlaku di luar kawalan.

Memandangkan perlu tinggal lebih lama di Madrid, kami mengambil peluang untuk menyertai lawatan berkumpulan ke Toledo dan Segovia.

Entah mengapa, saya rasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena sejak dari awal.

Firasat saya ternyata betul. Selepas makan tengah hari, kami ditinggalkan oleh ketua rombongan bersama sebuah keluarga dari Israel.

Tiada arahan jelas, tempat berkumpul yang mengelirukan, tiba-tiba mereka semua hilang begitu sahaja.

Kami segera membuat aduan dan bernasib baik mendapat bayaran balik penuh daripada Trip.com.

Walaupun sedikit ‘wild’, namun kami tetap berjaya pulang semula ke Madrid dengan usaha sendiri. Namun, Toledo memang sangat cantik.

Dua hari terakhir di Madrid, kami menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar kota.

Setelah episod Madrid yang penuh kejutan, kami terbang ke Lisbon, Portugal pula. Sejujurnya, saya terus jatuh cinta dengan kota ini.

Berbeza dengan Madrid, suasana di Lisbon lebih tenang, berwarna-warni dan ada satu aura menawan yang sukar digambarkan.

Kali ini, segalanya berjalan lebih lancar. Pengangkutan awam mudah difahami dan efisien. Cuma satu kejutan kecil, hujan turun tiba-tiba.

Tapi itu tidak menghalang kami untuk terus mengembara.

Kami menginap di Lisbon selama empat malam dan langsung tidak menyesal.

Destinasi terakhir kami adalah Geneva, Switzerland.

Misi utama kami di sini adalah untuk melihat dan merakam keindahan Mont Blanc di Chamonix.

Untuk makluman, Chamonix terletak di Perancis, tetapi lapangan terbang terdekat adalah Geneva.

Sayangnya, nasib kurang menyebelahi kami di sini kerana cuaca ketika itu sangat buruk.

Kabus tebal dan hujan tidak berhenti sejak kami tiba.

Kami putuskan untuk tidak menaiki kereta kabel kerana kurang berbaloi. Mungkin ini petanda bahawa kami perlu datang semula pada suatu hari nanti.

Walaupun tidak dapat melihat Mont Blanc, namun kami tetap menikmati suasana di pekan kecil Chamonix.

Kami singgah di sebuah kedai roti artisan dan saya masih teringat betapa lazatnya roti focaccia yang lembut, panas serta penuh rasa.

Meskipun tidak dapat melihat pemandangan gunung Mont Blanc, namun roti itu sudah menjadi highlight yang tak disangka-sangka,

Secara keseluruhannya, kembara ke Madrid, Lisbon dan Geneva pasti tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidup kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN