KEMAMAN – Seorang pengusaha kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan sepupu lelakinya di Binjai di sini.
Tertuduh wanita berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan yang dipeliharanya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara bulan Mac hingga pukul 5.30 petang, 22 Mei lalu di premis makanan dan rumahnya di Binjai di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan pengusaha kedai makan terbabit dibebaskan dengan wang jaminan RM6,000.
Sebutan kes pula ditetapkan pada 1 Julai depan. – KOSMO! ONLINE