PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila mengetahui suami pengasuh anaknya pernah memandikan kanak-kanak itu semasa di bawah jagaan pengasuh tersebut.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok, NgopiNgopi, kejadian itu berlaku ke atas sahabatnya baru-baru ini.
“Sahabat saya hubungi saya menangis sebab dia dapat tahu suami pengasuh dia mandikan atau cucikan anak dia.
“Anak dia budak perempuan berusia dua tahun. Bila dia suarakan kepada pengasuh yang dia tak selesa, pengasuh dia siap tanya ‘kenapa ya?’. Aku yang tak ada anak perempuan pun faham yang perkara itu sangat tak patut,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan pengasuh terbabit dan berharap ibu kanak-kanak itu tidak membiarkan anaknya dijaga oleh pengasuh itu lagi.
“Tukar pengasuh, ‘mind set’ dia dah tak betul. Bahaya,” kata Hanis.
“Tukar pengasuh kalau boleh. Ambil iktibar dari kes Baby Zara, tak semua orang boleh dipercayai sekarang,” kata Amirah.
“Seriuslah. Suami saya pun tak ada nak mandikan atau cebokkan anak perempuan dia selepas dua tahun. Selalu saya saja yang buat melainkan saya ada hal lain,” kata Syafiqah.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 100,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE