BANGKOK – Polis Thailand menghalang tindakan seorang lelaki bertafakur di atas bumbung sebuah bangunan dua tingkat di Pattaya, Thailand, lapor laman berita The Pattaya News semalam.
Kejadian berlaku di Soi Chalermphrakiat 25, kelmarin.
Polis berkoordinasi dengan pasukan bantuan bencana Pattaya dan sukarelawan dari Yayasan Penyelamat Sawang Boriboon Thammasathan untuk bertindak balas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.
Sejurus tiba, pihak berkuasa menemukan seorang lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun, sedang bermeditasi.
Anggota-anggota polis menggunakan tangga untuk naik ke balkoni bagi menangkap lelaki tersebut sebelum dia dibawa turun tanpa kecederaan.
Identiti lelaki itu masih tidak diketahui tetapi dia dihantar ke hospital untuk penilaian perubatan.
Pihak berkuasa masih belum menentukan punca kejadian atau sama ada lelaki itu menghidap sebarang penyakit. – AGENSI